Wednesday, November 18, 2009

Inovasi

Salam sejahtera,

Sekian lama tidak sempat mencoretkan sesuatu dalam laman ini rasanya begitu kecewa sekali. Setelah menghadiri satu seminar di Ipoh anjuran Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia, saya mendapat pengalaman yang begitu bermakna sekali untuk dikongsikan bersama.

Pertandingan inovasi yang telah dijalankan sempena seminar tersebut memberikan satu gambaran yang begitu jelas sekali tentang pentingnya guru-guru bersifat atau mempunyai ciri-ciri yang inovatif. Berbagai masalah dapat diselesaikan hasil daripada ciptaan kreatif para guru (pensyarah Institut Pendidikan Guru Malaysia IPGM). Berbagai rekaan kreatif telah diketengahkan dan boleh dikongsi bersama-sama dengan golongan pendidik lain seluruh negara.

Setiap sekolah, daerah atau negeri perlu menganjurkan pertandingan yang sedemikian setiap tahun bagi mencungkil bakat kreatif guru-guru sekolah dalam penghasilan idea baru yang kreatif dan inovatif. Sama ada PKG atau BTPN perlu menyahut seruan ini dan memperuntukkan sedikit kos dan mengadakan perancangan yang rapi dan teliti untuk tujuan tersebut.

Hasil inovasi daripada IPGM yang mengambil bahagian dalam seminar tersebut amatlah menarik dan boleh diketengahkan ke peringkat kebangsaan. Sesetengahkan berkaitan dengan pedagogi serta strategi pengajaran dan pembelajaran. Saya percaya dan yakin sekiranya guru-guru diberikan peluang, pasti mereka juga dapat mengemukakan hasil inovasi yang baik.

Monday, November 9, 2009

Pesanan Lukman Al-Hakim

Kita kongsi bersama pesanan Lukman Al-Hakim kepada anaknya. Sebagai seorang guru, kita juga boleh pesankan pesanan ini kepada anak didik kita, semoga mereka mejadi seorang insan yang sempurna dan beriman.Banyak perkara yang guru boleh gunakan dalam pesanan ini sewaktu mengajar. Ingatlah, kita sebagai guru bukan sekadar bertanggung jawab untuk mendidik murid kita menjadi seorang yang pandai (daripada segi intelek sahaja) malah kita perlu membentuk mereka supaya menjadi seorang insan yang berakhlak mulia. Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah menggariskan tugas dan tanggung jawab kita dalam usaha mendidik anak murid kita iaitu supaya mereka menjadi seorang insan yang seimbang daripada aspek Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek. Semoga anak didik kita menjadi seorang yang pandai, berakhlak mulia, menghormati orang lain (terutama ibu bapa mereka) dan sihat tubuh badan serta akal fikiran.

01 - Hai anakku: ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan SAMPAN yang bernama TAKWA, ISInya ialah IMAN dan LAYARnya adalah TAWAKKAL kepada ALLAH.

02 - Orang - orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari ALLAH. Orang yang insaf dan sedar setelah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemuliaan dari ALLAH
juga.

03 - Hai anakku; orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kepada ALLAH, maka dia tawadduk kepada ALLAH, dia akan lebih dekat kepada ALLAH dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada ALLAH.

04 - Hai anakku; seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukanmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman.

05 - Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.

06 - Dan selalulah berharap kepada ALLAH tentang sesuatu yang menyebabkan untuk tidak menderhakai ALLAH. Takutlah kepada ALLAH dengan sebenar benar takut ( takwa ), tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat ALLAH.

07 - Hai anakku; seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak melamunkan hal hal yang tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.

08 - Hai anakku; engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih lagi daripada semua itu, adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang jahat.

09 - Hai anakku; janganlah engkau mengirimkan orang yang bodoh sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak menjadi utusan.

10 - Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yang berbahaya.

11 - Hai anakku; bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati, sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.

12 - Janganlah engkau makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu diberikan
kepada anjing sahaja.

13 - Hai anakku; janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan saja pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.

14 - Makanlah makananmu bersama sama dengan orang orang yang takwa dan musyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.

15 - Hai anakku; bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yang mencari kayu bakar, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.

16 - Hai anakku; bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu,maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati hatilah.

17 - Selalulah baik tutur kata dan halus budi bahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga.

18 - Hai anakku; bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.

19 - Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya~ yang akan mendatangkan cela pada dirimu.