Saya membuat pencerapan terhadap pengajaran pembelajaran seorang guru wanita yang mengajar mata pelajaran Matematik Tambahan tingkatan empat. Kedudukan kelas adalah sederhana dengan komposisi kaum Melayu:Cina adalah 50%:50% (ada seorang murid India).
Guru memulakan pengajaran dengan memberikan penerangan 90% dalam bahasa Melayu dan sekali sekala diselang seli dengan bahasa Inggeris. Walau bagaimanapun semasa menulis di papan hitam, guru menggunakan bahasa Inggeris.
Guru tidak menggalakkan murid bercakap dalam bahasa Inggeris disepanjang pengajaran beliau. Hanya sekumpulan kecil murid sahaja memberi respon kepada soalan yang dikemukakan oleh guru (secara beramai-ramai) dalam bahasa Melayu. Teknik penyoalan guru pula tidak berfokus kepada murid tertentu, soalan dikemukakan kepada keseluruhan murid. Belum sempat murid menjawab, guru sudah memberikan jawapan oleh itu matlamat penyoalan beliau tidak dapat mengukur kefahaman murid.
Tidak ada langsung murid mengemukakan soalan kepada guru dalam bahasa Inggeris. Apa yang dapat diperhatikan, sekumpulan murid Cina dapat menguasai bahasa Inggeris dan sangat sedikit murid Melayu menguasainya. Saya mendapati murid berbangsa Cina, walau pun guru mengajar dalam bahasa Melayu, mereka masih dapat menguasai bahasa Inggeris, mengapa? Ini menimbulkan banyak persoalan dalam kalangan guru. Saya telah menimbulkan persoalan ini dalam penulisan saya sebelum ini dan beberapa faktor yang terlibat serta menyumbang kepada perkara berkenaan.
Semasa berbual dengan Pengetua dan Guru Penolong Kanan (GPK), pada pandangan mereka, guru terbeban dengan pelaksanaan PPSMI ini. Walaupun mereka mendapat elaun (BISP), mereka terpaksa mengikuti pelbagai kursus dan ujian seperti ujian kompetensi yang dijalankan oleh kementerian. Mereka seolah-olah terpaksa menggunakan bahasa Inggeris semasa mengajar walaupun tidak menguasai bahasa tersebut dengan baik. Mereka juga terpaksa menggunakan bahasa Melayu semasa mengajar kerana murid tidak faham – terutamanya kelas yang lebih rendah.
Kebanyakan guru semasa belajar disekolah dahulu dalam bahasa Melayu sehingga ke universiti, oleh itu mereka sukar bercakap bahasa Inggeris dalam menyampaikan pengajaran dan pembelajaran. Saranan mereka ialah – kalau mahu murid pandai berbahasa Inggeris melalui pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains, belajarlah secara bilingual dengan menekankan kepada terminologi sahaja.
Lain-lain perkara yang diperhatikan ialah murid berbangsa Cina membawa air minuman kosong untuk minuman mereka dalam botol air mineral yang besar (1 liter). Hanya dua orang murid Melayu membawa air minuman, itupun dalam bekas (botol) yang kecil sahaja. Daripada segi kesihatan, air minuman yang paling baik adalah air kosong (plain water) Hampir 80% kandungan badan kita adalah terdiri daripada air. Oleh itu, jika kita inginkan kesegaran dan keselesaan, maka kita perlu meminum air kosong dengan banyak setiap hari. Sebab itulah murid di sekolah Cina sentiasa segar dan dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajar walaupun waktu belajar tengah hari yang cuacanya panas terik. Orang Melayu harus belajar daripada bangsa Cina mengenai perkara ini dan perlu menjadi amalan semua murid kita di sekolah. Guru-guru perlu menegas dabn menggalakkan amalan baik ini kepada semua pelajar di sekolah. Apa yang dapat saya perhatikan, murid kita di sekolah luar bandar dan pedalaman, mereka membawa air berwarna-warni (sirap), air teh, air kopi dan sebagainya ke sekolah untuk minuman mereka. Ini tidak sesuai diamalkan. Kita sebagai guru perlu memberikan arahan dan maklumat yang jelas kepada murid supaya mereka dapat mengamalkan pemakanan yang baik dan berguna kepada mereka sendiri.
KESELURUHAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERLAKU DALAM BAHASA MELAYU – HANYA 10% SAHAJA BAHASA INGGERIS DIGUNAKAN.
No comments:
Post a Comment