Thursday, November 29, 2012

Kesempurnaan Menyampaikan Pengajaran

Seseorang guru harus menghafal fakta-fakta dalam isi kandungan pengajaran yang akan diajar dalam bilik darjah. Contohnya, formula-formula yang akan digunakan dalam PnP. Bagi guru mata pelajaran matematik, fizik dan kimia, aspek ini sangatlah dititikberatkan. Sekiranya guru sendiri tidak dapat menghafal fakta atau formula tertentu, apatah lagi muridnya. Malah, guru perlu membimbing murid untuk menghafal sesuatu fakta dan formula dengan kaedah yang mudah diingat. Guru boleh menggunakan kaedah mnemonik bagi memudahkan hafalan.

Percakapan guru semasa penyampaian juga perlu dititkberatkan. Umpamanya guru perlu menggunakan ayat yang ringkas (tanpa mengurangkan maknanya). Perkara ini memang tidak mudah untuk dilakukan. 

Jawapan atau maklum balas yang diberikan oleh guru kepada murid semasa menjawab soalan atau pertanyaan murid adalah perlu jelas dan disertai dengan contoh-contoh yang berkaitan dengan persekitaran murid supaya mudah difahami. Sekiranya guru tidak dapat menjawab persoalan yang dikemukakan, janganlah cuba membuat pernyataan palsu atau 'pembohongan' sebab dikhuatiri nanti akan memakan diri sendiri. Zaman teknologi maklumat di hujung jari sekarang ini memudahkan murid membuat rujukan daripada pelbagai sumber. Berlakulah jujur dan akulah bahawa kita tidak dapat memberikan jawapan yang betul.Sifat ini tidak akan merendahkan martabat kita sebagai guru. pepatah menyatakan 'tak akan hilang bisa ular yang menyusur akar'

Guru-guru terlatih yang ada disekolah seluruh negara masa kini telah dibekalkan dengan ilmu pengetahuan berkaitan isi kandungan dan juga kemahiran pedagogi melalui kursus perguruan yang mereka ikuti.Oleh itu, seharusnya semua guru telah dapat menguasai kedua-dua bidang ini dengan baik bagi melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi. Satu lagi kemahiran yang perlu dikuasai oleh guru adalah 'Technological Pedagogical Content Knowledge" atau dikenali sebagai TPCK. Kemahiran ini adalah amat relevan dengan kecanggihan dunia masa kini iaitu berkaitan dengan penggunaan teknologi dalam kalangan guru. Guru harus menguasai teknologi dan memanfaatkan penggunaannya dalam bilik darjah. Ilmu ini perlu dipelajari dan dikuasai oleh semua guru agar martabat profesion kita sentiasa dipandang tinggi dan bertaraf dunia. Ilmu dan kemahiran mengenai penggunaan ICT telah ditegas dan diberikan kepada semua guru oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, begitu juga institusi pengajian tinggi yang melatih bakal-bakal guru.

Wednesday, November 21, 2012

Guru Sebagai Model Pendidikan

Rasulullah SAW tidak pernah mengarahkan sesuatu perkara melainkan Beliaulah orang yang pertama melaksanakankannya terlebih dahulu. Iktibar daripada ajaran ini kepada guru adalah begitu signifikan sekali. Insan guru seharusnya menjadi model pendidikan kepada murid mereka. Setiap perkara yang dilakukan oleh guru akan menjadi turutan anak didik kita, khususnya apa yang kita lakukan dalam bilik darjah, semuanya diperhati dan diteliti oleh anak didik kita. Apatah lagi kita bersama-sama dengan mereka hampir setiap hari (persekolahan) dan mungkin selama beberapa tahun kita mengajar mereka.

Tauladan yang baik daripada segi budi pekerti dan perbuatan adalah aspek yang utama perlu ditonjolkan oleh guru dihadapan murid. Namun terdapat guru yang berkelakuan kurang sopan umpamanya merokok, tidak menjawab salam (atau tidak memberi salam), tidak menghormati murid, memarahi murid dihadapan kawan mereka dan sebagainya. Mengajar dengan perbuatan dan praktikal adalah lebih berkesan dan merupakan cara yang terbaik untuk difahami. Cara ini juga boleh mendorong murid untuk mengikuti berbanding dengan cara pengajaran yang berbentuk teori dan penerangan semata-mata.

Fitrah semulajadi manusia sememangnya enggan  untuk menerima penyampaian yang hanya berbentuk teori tanpa dipraktikkan terlebih dahulu oleh orang yang menyampaikan sesuatu perkara tersebut. Mereka yang hanya bercakap tak serupa bikin tidak akan mendapat tempat dihati murid dalam penyampaian mesej pengajaran.

Semasa melaksanakan pengajaran dan pembelajaran, guru sepatutnya menulangi sesuatu arahan sebanyak tiga kali agar mudah difahami. Guru juga perlu menerangkan sesuatu teori secara praktikal dan memberikan contoh-contohnya sesuai dengan latar belakang murid.

Monday, November 5, 2012

Aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran di Hujung Semester

Kebanyakan ibu bapa mendengar rungutan datripada anak-anak mengenai aktiviti pembelajaran mereka di hujung semester begini. Mereka agak malas atau liat untuk ke sekolah sebab tidak ada lagi aktiviti P&P yang berlaku dalam bilik darjah. Aktiviti persekolahan di hujung semester begini lebih kepada aktiviti bukan akademik dan sukan/permainan. Sesetengah sekolah mengadakan ujian/peperiksaan akhir tahun 3 atau4 minggu sebelum minggu akhir semester. Oleh itu guru mempunyai masa kira-kira 3 atau 4 minggu untuk menyemak kertas soalan dan urusan pemarkahan murid, namun proses ini menyebabkan minggu interaksi P&P rugi sebanyak 3 - 4 minggu. 
Ironinya, ramai guru yang merungut bahawa mereka kesuntukan masa untuk menghabiskan silibus dan TERPAKSA melaksanakan aktiviti P&P secara Berpusatkan Guru (Teacher's Centered) bagi menghabiskan silibus segera. Oleh itu, mereka agak sukar untuk melaksanakan pengajaran yang lebih berpusatkan murid (Student Centered) sebab kononnya memakan masa. Apa yang kita boleh perhatikan disini ialah banyak lagi masa yang agak terluang dan tidak digunakan sebaik mungkin di hujung semester. Keadaan ini berlau setiap tahun (setiap hujung semester). 
Saya menulis disini bukanlah secara rambang, saya sangat berpengalaman dengan situasi persekolahan di negara kita melalui tugas kerjaya saya yang lalu. Ramai guru yang mengikuti pengajian peringkat Master dan PhD juga menyuarakan pendapat sedemikian sama ada melalui perbincangan dalam kuliah, pembentangan tugasan dan kajian/tesis peringkat master dan PhD. isu sedemikian banyak dikaji oleh pendidikan dan dibincangkan dalam pelbagai wacana seperti jurnal dan pembentangan seminar/bengkel/kursus seluruh negara. Oleh itu, isu yang saya ketengahkan ini adalah benar dan wajar diambil perhatian oleh semua.
Sebagai seorang yang berkecimpung dalam bidang Teknologi Pendidikan, saya sering mendengar alasan-alasan bahawa guru tidak mempunyai masa untuk menggunakan teknologi atau ABM semasa mengajar sebab kesuntukan masa untuk menghabiskan sukatan. Mereka mendakwa bahawa penggunaan teknologi atau ABM akan melambatkan P&P dan dikhuatiri tidak sempat menghabiskan sukatan pelajaran. Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), Kementerian Pelajaran Malaysia lebih arif dengan dakwaan dan alasan sebegini, maka banyaklah agenda BTP, BTPN dan PKG tidak mendapat sambutan yang memuaskan dalam kalangan guru iaitu daripada aspek menjadikan bilik darjah sebagai pusat aktivti P&P yang lebih aktif. Contohnya BTP telah menyediakan portal EDUWEBTV bagi mengganti TV Pendidikan untuk kemudahan guru menggunakan teknologi ICT dalam P&P mereka. (Berapakah wang telah dilaburkan oleh KPM untuk  menyediakan portal ini?) Saya ingin bertanya... berapa ramai guru yang memanfaatkan teknologi ini? apakah alasan yang diberikan untuk tidak menggunakankannya?... salah satu daripada alasan ialah "kesuntukan masa - untuk menghabiskan silibus". Sementara kita telah kerugian 3 - 4 minggu di setiap hujung semester - setiap tahun.
Kepada guru dan pentadbir sekolah, anda semua dipertanggungjawabkan dalam hal ini dan bertindaklah supaya keadaan ini tidak berterusan.


Wednesday, October 17, 2012

We will Make a Difference...

Kerjaya guru adalah amat memerlukan komitmen dan kesungguhan daripada penjawatnya. Hasil komitmen yang penuh dan kesungguhan yang kuat maka terhasillah anak didik yang berjaya dalam kehidupan. Saya tidak percaya bahawa seseorang itu perlu dilahirkan sebagai 'guru' untuk menjawat jawatan sebagai guru. Seseorang 'guru' adalah lahir daripada pengalaman, kematangan dan sedikit daripada sifat semulajadi atau genetik. Seseorang guru yang berjaya tidak semestinya ia bercita-cita untuk menjadi guru semasa di sekolah rendah atau menengah dahulu. Mungkin selepas mendapat ijazah, baharu lahir keinginan untuk menjadi guru disebabkan persekitaran, pengalaman dan kematangan berfikir, maka beliau akan menglaksanakan tugas dengan penuh tanggung jawab dan bersungguh-sungguh. Sesetengahnya disebabkan oleh desakan daripada pihak-pihak tertentu seperti ibu bapa, suami (bagi guru perempuan) dan rakan-rakan atau setelah penat dan lelah mencari pekerjaan lain untuk menyara hidup.

Namun, sekali anda telah melangkah kaki ke alam kerjaya ini, janganlah lagi toleh ke belakang. Ayuh mara terus dan komited dengan tugas yang telah dipertanggung jawabkan. Hasilnya, InsyaAllah akan dapat dilihat dan anda akan berpuas hati, walau pun ganjaran tidaklah seberapa dibandingkan dengan kerjaya seperti doktor, arkitek, akauntan dan lain-lain kerjaya profesional (dan PTD). Walau bagaimanapun kerjaya ini adalah setanding dengan pegawai-pegawai kerajaan lain (pegawai tadbir awam khususnya) malahan dikatakan peluang kenaikan pangkat adalah lebih baik. Syabas kepada pihak yang berwajib kerana telah 'memelihara' kerjaya ini dan meningkatkan martabatnya.

Walau apa pun, warga guru tidaklah memandang semua itu dengan gelojoh. Mereka bersyukur kepada Allah swt di atas keprihatinan pihak berkaitan. Cabaran kerjaya bertambah berat dalam abad ke 21 ini dimana pelbagai perkara dan tugas perlu dilakukan supaya bersesuaian dengan tuntutan waktu dan teknologi yang berkembang pesat.

Saya ingin memaparkan sebuah senario tentang kecemerlangan kerjaya guru kepada anda sekalian. Semoga senario ini akan menjadi motivasi kepada semua warga guru. Sila layari laman web berikut:

www.makeadifferencemovie.com

Selamat bertugas... semoga semua guru-guru di Malaysia adalah guru cemerlang.

Tuesday, September 11, 2012

Kementerian Pelajaran Malaysia akan mengadakan satu transformasi pendidikan  supaya sistem pendidikan kita akan dapat memenuhi keperluan dan permintaan abad ini selaras dengan kemajuan dan perkembangan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam pelbagai bidang di dunia. Sekiranya ada cadangan dan pandangan, sila kemukakan dalam ruangan ini agar kita dapat berkongsi.

Monday, August 22, 2011

Kesan PPSMI

Saya merasa terpanggil untuk memberitahu semua pihak mengenai cerita terbaharu yang saya peroleh daripada anak buah saya. Mereka datang berkerja di Kuala Lumpur sebagai pekerja am (buruh) di sebuah syarikat. Mereka (3 orang) datang daripada keluarga yang sederhana (tidak susah sangat dan tidak miskin sangat) Saya terkejut dengan jawapan yang mereka berikan apabila saya bertanya sampai mana peringkat persekolahan mereka. Jawapan mereka adalah setakat PMR sahaja. Apabila ditanya kenapa tidak melanjutkan pelajaran di tingkatan 4. Jawapan mereka adalah sebab mereka tak faham apa yang diajar dalam BI seperti subjek Sains dan Matematik. Mereka kata lebih baik mereka berhenti daripada masuk kelas dan tak tahu apa pun yang dicakap oleh guru. Mereka tinggal dan bersekolah di kawasan luar bandar dan tidaklah begitu jauh daripada pekan kecil (Kuala Nerang). Menurut kata mereka, ramai lagi kawan2 mereka yang berbuat demikian disebabkan tak mampu belajar dalam BI, lalu berhenti sekolah. Terdapat juga dalam kalangan kawan2 mereka yang mendapat keputusan baik dan pandai semasa di sekolah, tetapi apabila masuk ke tingkatan 4, mereka tak dapat mengikuti pelajaran yang diajar dalam BI dengan baik dan pencapaian akademik mereka merudum.

Kita tidak nafikan BI adalah bahasa ilmu dan digunakan pakai antarabangsa, namun jangnanlah ramai anak-anak kita terabai dan tercicir dek BI.

Kini di fakulti pendidikan pula menjadi kewajipan bagi pensyarah untuk menyampaikan kuliah dalam BI. Saya tertanya-tanya adakah pelajar boleh memahami dengan baik dan adakah ilmu yang akan disampaikan itu boleh dikuasai sepenuhnya? Bakal-bakal guru ini akan berkhidmat di sekolah dalam negara dan juga termasuk di luar bandar. Adakah kita mahu menyediakan guru untuk mengajar dalam BI?

Saya terbaca Akhbar Berita Harian 20 ogos 2011yang ditulis oleh Razak Ghows mengenai tajuk "UM usah taksub mengejar ranking dunia"  Pensyarah universiti terutamanya universiti yang bertaraf Universiti Penyelidikan (Research University - RU) kini berlumba-lumba mengejar ranking dunia tanpa memikirkan masalah dan hal ehwal dalam negara. seolah-olah univerisiti kita ini (IPTA) ditubuhkan bukan untuk orang kita pulak. Kita bangga dengan universiti yang ramai orang luar (foreigner) sama ada berkulit hitam atau putih. Maka ramailah pelbagai bangsa tadi datang ke negara kita untuk belajar. Kita pulak berbangga dengan kehadiran mereka, kononnya kita mendapat pelajar yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa. Semua pensyarah universiti tahu apa yang berlaku kepada pelajar antarabangsa. adakah mereka ini sangat handal? BI mereka pun banyak yang lintang pukang dan belasah saja.

Pensyarah diutamakan supaya menulis artikel untuk diterbitkan dalam jurnal antarabangsa seperti ISI, dan seumpamanya. Artikel yang tersiar dalam jurnal tempatan tidak memberikan erti apa-apa kepada pihak universiti. Pensyarah tidak boleh menggunakan penerbitan jurnal tempatan sebagai CV mereka bagi tujuan kenaikan pangkat dan lain-lain. Jika dilihat, ramai pelajar pasca siswazah tempatan menggunakan dapatan kajian tempatan yang diperoleh daripada jurnal tempatan sebab kajian mereka adalah berfokuskan masalah tempatan. Selepas ini artikel dalam jurnal tempatan akan berkurangan dan akan menjadi masalah kepada pelajar dan penyelidik untuk membuat rujukan bagi kajian mereka.

Sebenarnya bukan mudah untuk menerbitkan artikel dalam jurnal antarabangsa yang bertaraf liam atau enam bintang itu. Semua para akademik daripada seluruh dunia akan menghantar artikel untuk jurnal yang mempunyai bilangan terhad ini. Dalam bidang-bidang tertentu, hanya beberapa buah jurnal sahaja berstatus ini. Maka peluang untuk diterbitkan dalam jurnal ini cukup terhadap dan persaingan yang tinggi. Maka mengeluhlah para akademik di universiti, terutamanya RU.

Kelihatan semakin ramai profesor dan profesor madya yang akan berpencen, namun pengganti mereka adalah sukar ditemui lantaran syarat-syarat yang begitu ketat sekali untuk memohon jawatan tersebut. Beruntunglah para profesor dan profesor madya yang hidup dalam zaman bukan RU dan zaman yang tidak mengejar ranking dunia. Trend untuk berpindah ke universiti yang bukan RU dimana syarat kenaikan pangkat tidak begitu ketat akan berlaku dan sedang berlaku. Kemungkinan suatu hari kelak bilangan prof dan PM akan berkurangan dalam sesebuah fakulti sekiranya syarat yang ada sekarang diteruskan.

Friday, August 12, 2011

Guru adalah Ibu Bapa Kedua Murid

Murid banyak menghabiskan masa di sekolah di sebelah siang hari berbanding bersama ibu bapa mereka. Oleh itu secara tidak langsung, guru adalah pembimbing dan penjaga kepada murid semasa mereka berada di sekolah. Maka peranan sebagai ibu bapa kedua tidak boleh dinafikan oleh setiap insan yang bergelar guru. Semasa di sekolah, murid perlu dijaga dari segi keselamatan mereka, ksihatan dan pemakanan mereka. Sekolah telah menyediakan pelbagai prasarana untuk kemudahan murid semasa mereka berada dalam kawasan sekolah, malahan kawasan sekolah sentiasa diawasi oleh pegawai keselamatan yang sentiasa bertugas. Bilik rawatan, kantin dan surau telah tersedia untuk  murid melakukan aktiviti yang berkenaan. 

Hanya guru yang benar-benar berdedikasi sahaja mampu menunaikan tanggung jawab ini dengan penuh amanah dan bersungguh-sungguh. Berapa ramai antara guru menziarahi anak didik mereka sekiranya sakit dan terlantar di rumah atau hospital? Berapa ramai guru yang bertanyakan khabar sekiranya anak didik mereka tidak hadir ke sekolah melebihi 2 atau 3 hari? Ada ketika murid mereka sakit dan tidak hadir ke sekolah sehinggga melebihi 3 hari, guru langsung tidak mengambil tahu atau bertanyakan khabar. Guru boleh menghubungi ibu bapa dan bertanya mengapa anak mereka tidak hadir ke sekolah, dan sekiranya sakit maka hadirlah ke rumah mereka untuk menziarahi murid yang sakit. Kemana hilangnnya nilai keperibadian baik yang sepatutnya ada dalam diri seseorang guru sehingga tidak perlu mengambil tahu hal murid mereka? 
Kita banyak mendengar orang membandingkan guru dahulu dan guru sekarang. Perkara inilah yang membezakan guru dahulu dengan guru sekarang, guru dahulu menjalankan tugas sebagai ibu bapa kedua kepada murid dengan penuh rasa tanggung jawab menyebabkan mereka sentiasa dihormati sepanjang zaman. Bagaimana kita mahu murid menghormati kita sekiranya kita tidak menghormati mereka?

Kita pernah mendengar ada orang yang menyatakan mereka menjumpai amalan nilai Islam dalam kalangan masyarakat bukan Islam. Masyarakat di Barat mengamalkan nilai-nilai menghormati sesama sendiri dengan lebih baik berbanding masyarakat kita (Islam). Guru mereka sangat menghormati anak didik dan membelai mereka dengan penuh kasih sayang. 

Oleh itu janganlah memaki hamun, mencaci, mencela, memandang remeh anak didik kita walau pun mereka masih kecil. Suatu ketika nanti mereka akan menjadi dewasa dan mungkin menjadi seseorang yang terkenal. Sekiranya mereka tidak diajar untuk menghormati kita, maka kita akan kecewa apabila masa tersebut tiba.