Monday, September 14, 2009

Kareaktor Guru 3: Menaruh Harapan Tinggi

Ciri yang Ketiga: Menaruh Harapan Tinggi Guru yang palinh berkesan adalah guru menaruh setinggi-tinggi pengharapan kepada pelajar beliau dan percaya bahawa setiap orang pelajar akan mempunyai peluang untuk berjaya dalam hidup mereka. Guru seperti ini akan sentiasa menyediakan cabaran kepada pelajar mereka supaya pelajar dapat menunjukkan kebolehan mereka pada tahap yang terbaik. Mereka akan membina keyakinan diri pelajar dan mengajar dan menanamkan kepercayaan kepada diri sendiri. Pelajar akan merasa diri mereka sentiasa didorong oleh seseorang yang lebih dewasa dan Berjaya. Mereka akan menjadikan guru sebagai idola kerana kejayaan yang dimiliki oleh guru tersebut adalah sebagai perangsang dan motivasi kepada diri mereka.
Janganlah kita sebagai guru memandang rendah akan kebolehan anak didik kita. Mana tahu suatu hari nanti mereka akan menjadi lebih berjaya daripada orang lain (juga daripada kita) dalam bidang yang tidak kita sangkakan. Hakikatnya perkara ini sentiasa berlaku di sekeliling kita pada hari ini. ramai sekali anak murid kita yang dahulunya kita anggap 'bodoh', kini menjawat jawatan tinggi atau 'lebih berjaya' berbanding kita. Oleh itu, semua guru perlu menaruh harapan yang tinggi terhadap anak didik kita. Binalah keyakinan diri kepada mereka yang kita dapati agak lemah dan tidak bermotovasi terhadap pelajaran.

Thursday, September 10, 2009

Karektor Guru 2

Ciri yang Kedua: Positif Guru yang paling berkesan adalah guru yang memiliki sikap yang optimistik terhadap pengajaran dan mengenai pelajarnya. Sikap optimistik bermaksud seseorang guru itu sentiasa melihat perkara positif terhadap pengajarannya dan juga sentiasa menganggap semua pelajarnya adalah baik dan boleh maju dalam sebarang keadaan sekalipun. Guru yang sebegini adalah amat disukai oleh pelajar. Setiap keadaan dalam kelas dan pelajarnya sentiasa diberikan perhatian dan tunjuk ajar yang membantu pelajar menuju kejayaan. Semua pelajar dianggap mempunyai peluang untuk berjaya. Beliau sentiasa mempunyai ruang dan masa untuk didekati oleh pelajar bagi mendapatkan nasihat dan bantuan. Guru seperti ini akan mudah berkomunikasi dengan pelajarnya dan pelajar pula tidak segan silu untuk berinteraksi dengan guru. Guru seperti ini juga sentiasa memberi rangsangan yang berupa penghargaan dan pujian kepada semua pelajar. Mereka juga mempunyai strategi yang tertentu untuk membantu pelajar supaya bertindak secara positif bagi mencapai matlamat masing-masing. Guru seperti ini juga sentiasa memberikan motivasi kepada pelajarnya.

Friday, September 4, 2009

Karektor Guru 1

Robert J. Walker telah membuat penyelidikan kualitatif secara longitudinal selama 15 tahun sepanjang karier beliau sebagai seorang pendidik mendapati terdapat 12 ciri guru yang dominan dan sangat disukai oleh pelajar. Beliau telah membuat kesimpulan bahawa semua karekter tersebut adalah amat perlu dimiliki oleh semua insan yang bergelar guru. Saya akan membincangkan setiap karekter ini dalam penulisan saya seterusnya. Ciri yang Pertama: Sentiasa bersedia Guru yang palingberkesan adalah guru yang hadir ke jkelas setiap hari dan sentiasa bersedia untuk mengajar (mendidik). Murid akan dapat belajar dengan mudah dan memahami apa yang akan disampaikan oleh seorang guru yang telah bersedia untuk mengajar topik yang akan disampaikan pada hati itu. Oleh kerana guru itu sentiasa bersdia, maka beliau tidak akan mengambil masa yang lama atau membazir masa untuk mengajar. Mereka memulakan pengajaran tepat pada waktunya dan menggunakan sepenuh masa pengajaran (period) untuk menyampaikan ilmu pengetahuan. Sepanjang guru berada dalam kelas, pelajar dapat belajar sepenuhnya daripada guru jenis ini. Oleh itu, mereka tidak akan mudah bosan atau tertidur dalam kelas. Karektor ini adalah dipilih oleh pelajar sebagai ciri utama yang perlu dimiliki oleh semua guru. Oleh itu, seseorang insan yang bergelar guru atau akan bergelar guru amat wajar mengamalkan ciri sentiasa bersedia, terutamanya sewaktu kita mahu masuk ke kelas untuk mengajar sesuatu mata pelajaran. Bacalah sedikit bahan bacaan yang berkaitan dengan isi kandungan yang akan disampaikan, walau pun kita sudah mahir dan bertahun-tahun mengajar tajuk tersebut. Carilah dalam Internet atau bahan bacaan tambahan yang berkaitan dengan tajuk tersebut, mungkin ada perkara baharu yang boleh disampaikan kepada pelajar kita.

Tuesday, August 25, 2009

Instructional message design

Ingin berkongsi slaid mengenai instructional message design

Thursday, June 25, 2009

Krisis Kepimpinan Pendidikan

Hari ini tergerak hati untuk menulis mengenai kepimpinan di dalam organisasi pendidikan dalam negara kita. Terdapat berbagai jenis kepimpinan sama ada di peringkat sekolah, daerah, negeri, kementerian dan Negara. Kepimpinan yang ingin disentuh kali ini adalah mengenai kepimpinan yang boleh menyebabkan kerugian kepada sesebuah organisasi. Terdapat pemimpin walau dalam mana peringkat pun mengamalkan kepimpinan yang bercorak diktator atau dengan lain perkataan hanya pandai memberi arahan dan perlu diikuti dengan penuh taat setia oleh pengikutnya. Apa sahaja arahan yang diberikan, perlu diikut tanpa membantah, walau pun akan merugikan organisasi ataupun memberikan kesan yang kurang baik kepada warga organisasi berkenaan. Setiap arahan atau peraturan baharu dibuat tanpa mendapatkan pandangan dan ulasan daripada pihak bawahan. Sudah menjadi satu kebiasaan dalam kalangan pemimpin walau pun di peringkat atas, idea yang mereka curahkan adalah hak peribadi mereka dan tidak boleh ditokok tambah oleh orang lain, lebih-lebih lagi orang bawahan yang dikira sebagai kurang ‘pandai’ atau kurang ‘baik’ berbanding diri sendiri. Apa tah lagi untuk merujuk atau mendapatkan pandangnan pakar atau pun dapatan-dapatan kajian sama ada dalam atau luar Negara. Mereka juga didapati malas membaca dan mengkaji. Terdapat juga pemimpin yang memang bagus dengan idea yang bernas, sebab mereka ini suka membaca dan membuat kajian. Mereka mempunyai tabiat membaca yang konsisten dan sentiasa berfikir dengan logik dan matang. Sangat sukar untuk mencari pemimpin yang sebegini. Kadang-kadang pemimpin yang bijaksana dan cerdas otak ini wujud dalam sesebuah organisasi, tetapi ada mekanisma yang mencatas mereka. Bakat kepemimpinan cemerlang yang ditunjukkan oleh orang bawahan ini selalunya dicantas oleh pemimpin sedia ada. Terdapat pelbagai cara dan strategi mencantas dilakukan oleh pemimpin yang iri hati dan takut kedudukan mereka tergugat. Budaya pemimpin yang mempunyai sifat iri hati dan dendam ini menyebabkan orang bawahan menjadi mangsa mereka. Akhirnya mangsa tadi akan mencari jalan untuk membalas dendam terhadap pemimpin tadi. Balasan dendam yang dilakukan adalah pelbagai cara, antaranya ialah:

  • Bekerja dengan tidak sesungguh hati, sebab macam mana pun kuat bekerja, memang bos tidak akan berikan peluang atau sokongan untuk kenaikan pangkat.
  • Tidak menumpukan perhatian dan sepenuh hati terhadap projek yang dirancang oleh bos.
  • Curi tulang – sekiranya bos tidak ada.
  • Bercakap atau mengkritik di belakang bos.

Kekecewaan yang dialami oleh bakal pemimpin yang ditindas atau diketepikan ini akan menjadi satu titik tolak untuk beliau menyusun strategi bagi membalas ’dendam’ terhadap apa yang berlaku ke atas dirinya. Ada pemimpin yang semasa beliau bersara diraikan dengan ala kadar sahaja. Selepas bersara, bekas pemimpin ini cuba datang ke pejabat mungkin untuk tujuan sosial, tetapi tidak diambil endah oleh semua orang dalam pejabat. Berjumpa beliau di tempat sosial lain atau di pasar malam juga tidak dihirau oleh bekas orang bawahannya. Inilah kesan kepada pemimpin yang tidak sedar diri dan tidak melaksanakan tugas dan tanggung jawab dengan baik. Ada ketika lain, sekiranya orang yang ditindas ini berpeluang untuk naik ke peringkat lebih tinggi, maka beliau akan menyusun strategi untuk membalas dendam terhadap bos lama. Semua arahan atau peraturan yang dibuat oleh pemimpin lama akan dimansuhkan, mungkin dengan secara tiba-tiba tanpa sebarang alasan yang kukuh. Sekiranya projek yang dtinggalkan oleh pemimpin lama masih dilaksanakan, keberlangsungan projek tersebut akan terjejas dengan secara disengajakan kerana ada mekanisme berbentuk dendam dilaksanakan dalam pengurusan projek berkenaan. Ini secara tidak langsung akan merugikan organisasi, dan seterusnya masyarakat. Semasa seseorang pemimpin itu berkuasa, beliau menggunakan kuasa yang ada untuk memilih konco-konconya bagi memenuhi jawatan-jawatan tinggi yang kekosongan. Ramailah bakal-bakal penjawat jawatan tersebut kecewa kerana tidak berpeluang untuk menduduki jawatan tersebut. Mereka yang lebih junior dibawa masuk oleh pemimpin berkenaan kerana wujudnya kroni dalam kepimpinan beliau. Selepas era kepemimpinan beliau berakhir, mereka yang dipinggirkan tadi berpeluang untuk naik menjawat jawatan lebih tinggi. Masa inilah peluang dan ruang untuk membalas dendam berlaku. Mereka yang dinaikkan pangkat oleh pemimpin kroni tadi akan merasa kehangatan dan tertekan. Pelbagai cara, kaedah dan strategi digunakan untuk memuaskan hati masing-masing. Situasi ini memang tidak sesuai untuk sesebuah organisasi bergerak dengan lancar. Sekiranya perkara ini berlaku, banyaklah projek-projek akan terjejas kelancarannya. Ini sudah tentu merugikan masyarakat keseluruhannya. Siapakah yang bertanggung jawab untuk membendung gejala ini? Mungkin pemimpin-pemimpin yang berada di peringkat atas yang menyedari gejala buruk ini harus mengambil langkah yang proaktif untuk mengadakan satu mekanisme yang terbaik bagi mengatasi masalah ini. Semua pemimpin harus diperingatkan mengenai peranan, tugas dan tanggung jawab masing-masing. Pemimpin yang yang berwibawa, bijaksana dan bertanggung jawab akan dapat melaksanakan tugas dan tanggung jawab yang diamanahkan dengan adil dan saksama.

Thursday, May 21, 2009

Literatur Mengenai PPSMI

Berikut adalah satu sorotan literatur yang telah ditulis oleh sekumpulan pelajar saya dalam tugasan mereka untuk menyiapkan proposal penyelidikan berkaitan dengan tajuk pelaksanaan PPSMI: Mulai 1 Jan 2003, kerajaan memperkenalkan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris bagi murid Tahun 1, pelajar Tingkatan 1 dan Tingkatan 6 di semua sekolah rendah dan sekolah menengah. Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata pengajaran Sains dan Matematik di semua sekolah patut dikaji. Beliau mempertikaikan penggunaan bahasa Inggeris untuk mengajar Sains dan Matematik di peringkat sekolah rendah dan menengah, sebab beliau prihatin tentang kesan pengajaran dua mata elajaran tersebut. Razali (2003) menyatakan bahawa guru-guru bukan sahaja mengajar berdasarkan kemahiran pedagogi yang sedia ada, tetapi mereka perlu sentiasa berusaha meningkatkan prestasi diri dalam menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Oleh yang demikian, guru-guru Matematik dan Sains perlu sentiasa berusaha dan bersedia dari segi perubahan dalam pengajaran Bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik. Rohana (2004) menyatakan bahawa 84% mata pelajaran Sains dan Matematik masih diajar dalam Bahasa Inggeris dengan kurang profesional. Ini telah mengakibatkan proses pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik yang kurang berkesan di dalam kelas. Segelintir guru masih tidak dapat mengajar Matematik dalam bahasa Inggeris dengan cara yang kreaktif dan berkesan untuk memupuk sikap pembelajaran pelajar. Lim Chap San (2003) membincangkan pelaksanaan pengajaran Matematik dalam Bahasa Inggeris merupakan satu dasar yang baharu. Persoalannya, adakah guru-guru bersedia terhadap perubahan bahasa bagi pengajaran Matematik dalam Bahasa Inggeris dalam menjayakan dasar pendidikan ini? Prof. Chiam Heng Keng (2002) menyatakan bahawa “a more effective means (to increase students proficiency in English) is for students to use English as a tool of learning …..” Ini menunjukkan kesediaan guru mengajar dalam Bahasa Inggeris perlu ada untuk memberi kesan yang positif bagi pelajar-pelajar mempelajari Matematik dalam Bahasa Inggeris. Mohd Rasdi Saaman (2004) telah mengkaji terhadap perubahan bahasa penghantar mata pelajaran Sains dan Matematik daripada Bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris. Dalam kajiannya, didapati bidang pendidikan mempunyai ramai guru yang mempunyai kelayakan yang mencukupi tetapi masih lemah dalam perlaksanaan dasar ini. Didapati guru yang ada latihan dalam Bahasa Inggeris dan komputer lebih bersedia untuk pengajaran Matematik dalam Bahasa Inggeris.

Monday, May 18, 2009

MEMORANDUM KEPADA PERDANA MENTERI MALAYSIA

Saya ingin memaparkan satu memorandum yang telah disampaikan kepada YAB mantan PM mengenai PPSMI oleh Pertubuhan-Pertubuhan Cina untuk tatapan kita bersama. MEMORANDUM KEPADA Y.A.B. DATO’ SERI ABDULLAH BADAWI DARIPADA PERTUBUHAN-PERTUBUHAN CINA UTAMA 31 OKTOBER 2006 (1) PENDAHULUAN
Berikutan dengan pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris mulai tahun 2003, kedua-dua mata pelajaran tersebut telah diajarkan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT). Manakala di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), formula "2-4-3" untuk Tahap I dan "6-2-3-2"untuk Tahap II telah dilaksanakan dengan menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa Cina secara serentak dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik.
Memandangkan dasar ini dilaksanakan dengan tergesa-gesa tanpa kajian-kajian ilmiah yang meyakinkan dan langsung bertentangan dengan prinsip pendidikan yang menegaskan kelebihan bahasa ibunda atau bahasa pertama dalam proses penyampaian ilmu, maka pertubuhan-pertubuhan pendidikan daripada pelbagai kaum telah banyak kali menyuarakan perasaan bimbang mereka terhadap dasar tersebut sepanjang tempoh 4 tahun ini.
Antaranya, Kongres Pendidikan Melayu Ke-2 yang dianjurkan pada bulan Mac 2005, secara lantang menyatakan bahawa kira-kira 5 ratus ribu orang pelajar Melayu akan keciciran di bawah dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris akibat kegagalan menguasai bahasa Inggeris.
Selain itu, pada 10 Disember 2005, kira-kira 3000 orang daripada pelbagai kaum secara individu atau mewakili pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan telah menyertai "Persidangan Membantah Pengajaran Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris" yang dianjurkan dengan tujuan menyampaikan suara rakyat kepada kerajaan supaya memandang serius dan menimbang semula dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang telah banyak membawa kesan negatif kepada semua aliran sekolah rendah, sama ada SK, SJK(C) mahupun SJK(T).
Masyarakat Cina pada umumnya prihatin terhadap isu ini. Dalam pada itu, Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (GPGSCM) telah menjalankan satu kajian soal selidik mengenai kesan-kesan pelaksanaan formula "2-4-3" di SJK(C) pada akhir tahun 2005 dan awal tahun 2006 untuk menyoroti sejauh manakah pengaruhnya kepada SJK(C) supaya dapat memberi gambaran yang sebenar dan saranan yang membina kepada kerajaan untuk menangani isu ini dengan sempurna. Menurut dapatan kajian tersebut, pelaksanaan formula "2-4-3" bukan sahaja meninggalkan impak negatif kepada guru-guru dan murid-murid, malah juga merupakan penghakisan kepada sistem pendidikan SJK(C) yang selama ini menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar utama.
Memandangkan keadaan yang cukup tenat di SJK(C), maka kami, Pertubuhan-Pertubuhan Cina Utama yang menandatangai bersama, dengan tulus ikhlasnya mengemukan memorandum yang berjudul "Pandangan Dan Cadangan Mengenai Pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Mata Pelajaran Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris"untuk rujukan dan pertimbangan Yang Amat Berhormat Dato'Seri supaya mengambil langkah yang wajar untuk menyelesaikan isu ini dengan sempurna.
(2) KAJIAN GPGSCM MENGENAI KESAN-KESAN PELAKSANAAN FORMULA "2-4-3"
Sebanyak 282 buah SJK(C) di bandar dan luar bandar dari beberapa negeri terlibat dalam kajian ini. Sekolah-sekolah tersebut dikehendaki memberi respons terhadap soalan-soalan yang disediakan mengikut keadaan masing-masing. Berdasarkan respons-respons yang diterima, dapatan kajian ini secara jelas menunjukkan bahawa pelaksanaan formula "2-4-3" telah menimbulkan banyak masalah kepada guru-guru dan murid-murid SJK(C) yang sekaligus menjejaskan pengajaran dan pembelajaran di SJK(C).
2.1 Masalah-Masalah Yang Dihadapi Oleh Murid-Murid
Susulan daripada pelaksanaan formula "2-4-3", bukan sahaja jumlah waktu pengajaran dan pembelajaran Tahap I di SJK(C) meningkat daripada 45 waktu (1350 minit) kepada 50 waktu (1500 minit) seminggu, bahkan bilangan mata pelajaran juga bertambah kerana bahasa Cina dan bahasa Inggeris digunakan secara serentak untuk mengajar Matematik dan Sains. Perubahan ini secara terus menambah beban murid-murid dan mempengaruhi pembelajaran mereka. Berikut ialah dapatan kajian GPGSCM mengenai masalah-masalah yang dihadapi oleh murid-murid:
(Bilangan Dan Peratusan SJK(C) Yang Setuju dinyatakan di hujung setiap pernyataan)
  • Murid-murid berasa tertekan kerana terpaksa menanggung lebih banyak kerja rumah dan peperiksaan. 240 buah (85.1%)
  • Murid-murid berasa tertekan kerana tidak dapat menyesuaikan diri untuk mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. 184 buah (65.2%)
  • Murid-murid mengalami tekanan yang amat berat kerana masa pembelajaran yang lebih panjang berbanding dengan sebelumnya. 183 buah (64.9%)
2.2 Keberkesanan Pembelajaran
Seperti mana yang diketahui, matlamat pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik adalah untuk menyampaikan ilmu dan kemahiran asas, tetapi bukan digunakan sebagai pendekatan untuk meningkatkan penguasaan sesuatu bahasa, misalnya bahasa Inggeris di kalangan murid-murid.
Kajian pakar-pakar pendidikan dalam negeri dan luar negeri telah membuktikan bahawa kanak-kanak seharusnya menggunakan bahasa ibunda atau bahasa pertama untuk mencapai kejayaan yang paling besar dalam proses pembelajaran, terutamanya bagi mata pelajaran Sains dan Matematik yang memerlukan pemikiran dan penerangan yang banyak.
Meskipun menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar, mata pelajaran Sains dan Matematik masih menjadi satu masalah untuk dikuasai sepenuhnya oleh murid-murid, apatah lagi murid-murid terpaksa menggunakan bahasa asing yang mereka kurang biasa untuk mempelajari Sains dan Matematik?
Padahalnya, dapatan kajian GPGSCM telah menunjukkan bahawa dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tidak mampu meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris dengan berkesan, sebaliknya penguasaan murid-murid terhadap Sains dan Matematik terjejas kerana gangguan bahasa Inggeris. Dalam pada itu, sebahagian sekolah menjelaskan bahawa mata pelajaran Bahasa Inggeris yang diajarkan mulai Tahun 1 di SJK(C) dari tahun 2003 merupakan unsur penting yang dapat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris kerana sebelum ini Bahasa Inggeris hanya diajar mulai Tahun 3 di SJK(C).
(Bilangan Dan Peratusan SJK(C) Yang Setuju dinyatakan di hujung pernyataan)
  • Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris terjejas kerana murid-murid gagal menguasai Bahasa Inggeris. 238 buah (84.4%)
  • Murid-murid adalah lebih tumpu perhatian dan mudah menguasai Sains dan Matematik dengan menggunakan bahasa Cina. 232 buah (82.3%)
  • Murid-murid terpaksa menggunakan masa yang lebih panjang untuk mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. 216 buah (76.6%)
  • Pengenalan terhadap perbendaharaan kata bahasa Inggeris telah meningkat, tetapi kemahiran mendengar, membaca, menulis dan bertutur dalam bahasa Inggeris tidak menunjukkan peningkatan yang jelas. 196 buah(69.5%)
  • Pelaksanaan formula "2-4-3" yang menggunakan bahasa Cina dan bahasa Inggeris secara serentak untuk mengajar Matematik dan Sains telah menimbulkan kekeliruan di kalangan murid-murid, dan juga telah menjejaskan keberkesanan pembelajaran. 170 buah (60.3%)
  • Murid-murid berasa jemu dan hilang minat terhadap Sains dan Matematik kerana berulang kali mempelajari isi kandungan yang sama dengan bahasa yang berlainan. 114 buah (40.4%)
  • Murid-murid berasa tertekan kerana gagal menguasai bahasa Inggeris, dan seterusnya menjejaskan keberkesanan mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Cina. 110 buah (39.0%)
2.3 Masalah-Masalah Yang Dihadapi Oleh Guru-Guru
Kajian GPGSCM mendapati guru-guru menghadapi pelbagai masalah di bawah pelaksanaan formula "2-4-3" di SJK(C), antaranya termasuk guru-guru yang diaturkan untuk mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris berasa tertekan kerana menghadapi masalah penguasaan bahasa Inggeris, Kementerian Pelajaran Malaysia enggan menambah bilangan guru mengikut pertambahan waktu pengajaran menyebabkan waktu pengajaran guru-guru yang sedia ada terpaksa bertambah, dan menjadikan masalah kekurangan guru di SJK(C) semakin serius.
(Bilangan Dan Peratusan SJK(C) Yang Setuju dinyatakan di hujung pernyataan)
  • Guru-guru yang diaturkan untuk mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris menghadapi masalah penguasaan bahasa Inggeris. 205 buah (72.7%)
  • Guru-guru terpaksa menanggung bebanan yang lebih berat kerana pertambahan waktu pengajaran. 201 buah (71.3%)
  • Sekolah terpaksa menambah waktu pengajaran guru-guru yang sedia ada untuk mengatasi masalah kekurangan guru-guru. 158 buah (56.0%)
  • Sekolah memerlukan perkhidmatan Guru-Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) untuk menyelesaikan masalah kekurangan guru-guru. 107 buah (37.9%)
2.4 Keberkesanan Pengajaran
Di bawah pelaksanaan formula "2-4-3", jumlah waktu pengajaran Matematik dalam bahasa Cina telah dikurangkan daripada 7 waktu (210 minit) kepada 6 waktu (180 minit) seminggu, masa ini adalah tidak mencukupi untuk menghabiskan sukatan pelajaran, bagaimanapun, guru-guru terpaksa mengajar dengan cepat, akibatnya prestasi pembelajaran murid-murid terjejas.
Begitu juga dengan keadaan pengajaran Matematik dalam bahasa Inggeris yang hanya 4 waktu (120 minit) seminggu berbanding dengan SK dan SJK(T) yang masing-masing 7 waktu (210 minit) seminggu walaupun menggunakan buku teks yang sama. Dapatan kajian GPGSCM menunjukkan bahawa murid-murid menghadapi kesukaran untuk memahami isi kandungan Matematik dalam bahasa Inggeris kerana waktu pengajaran dan pembelajaran yang terhad. (Bilangan Dan Peratusan SJK(C) Yang Setuju dinyatakan di hujung setiap pernyataan)
  • Oleh sebab waktu pengajaran Matematik dalam bahasa Cina tidak mencukupi, guru-guru terpaksa mengajar dengan cepat supaya menghabiskan sukatan pelajaran yang ditetapkan. 230 buah (81.6%)
  • Masa pengajaran dan pembelajaran yang terlalu kurang menyebabkan murid-murid gagal mengikuti sukatan pelajaran Matematik dalam bahasa Inggeris. 185 buah (65.6%)
2.5 Penggunaan Bahasa Cina Dipinggirkan
Di bawah pelaksanaan formula "2-4-3", bukan sahaja jumlah waktu pengajaran bagi mata pelajaran Bahasa Cina dikurangkan, malah terdapat juga mata pelajaran lain yang menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar turut dikurangkan waktu pengajarannya, jelas sekali status bahasa Cina di SJK(C) telah dipinggirkan. Keadaan ini secara terus mempengaruhi tahap penguasaan murid-murid terhadap bahasa Cina. (Bilangan Dan Peratusan SJK(C) Yang Setuju dinyatakan di hujung setiap pernyataan)
  • Tahap penguasaan bahasa Cina di kalangan murid-murid semakin lemah kerana pengurangan jumlah waktu pembelajaran bagi mata pelajaran Bahasa Cina dan mata pelajaran lain yang menggunakan bahasa Cina. 203 buah (72.0%)
  • Masa yang digunakan untuk mempelajari bahasa Cina telah berkurangan kerana murid-murid terpaksa menggunakan lebih banyak masa untuk mempelajari bahasa Inggeris, ini telah menjejaskan tahap penguasaan bahasa Cina. 183 buah (64.9%)
  • Pelaksanaan formula "2-4-3" menyebabkan tekanan yang dihadapi oleh murid-murid semakin berat, ini turut menyebabkan murid-murid kehilangan minat untuk belajar bahasa Cina. 116 buah (41.1.%)
(3) PANDANGAN DAN CADANGAN
Kajian GPGSCM jelas menunjukkan bahawa formula "2-4-3" mendatangkan impak negatif yang besar di SJK(C), guru-guru dan murid-murid terpaksa menghadapi sengsara dan tekanan yang amat berat dari segi pengajaran dan pembelajaran, akibatnya timbul keadaan "yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran". Sudah pasti keadaan yang serupa akan berulang apabila formula "6-2-3-2" dilaksanakan di Tahap II mulai sesi persekolahan tahun 2006.
Dapatan kajian tersebut telah membuktikan bahawa pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dan formula "2-4-3" bukan pendekatan yang sesuai baik untuk menyelesaikan masalah kelemahan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid-murid mahupun meningkatkan penguasaan murid-murid terhadap Sains dan Matematik. Maka, sekiranya kerajaan tetap meneruskan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang mengingkari prinsip pendidikan, bukan sahaja lebih ramai lagi kanak-kanak akan menjadi mangsa, malah juga akan melemahkan mutu pendidikan teknologi negara, dan akhirnya mempengaruhi perkembangan negara dan juga menjejaskan daya saingan negara di sejagat.
Keberkesanan dan kelebihan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar telah mendapat pengesahan Bangsa-Bangsa Bersatu, malah juga menjadi amalan umum di sejagat. Pada hakikatnya, banyak negara maju menggunakan bahasa ibunda masing-masing untuk mempelajari Sains dan Matematik dan terbukti mencapai kejayaan yang besar. Maka adalah tidak munasabah bagi kerajaan mengambil langkah ke belakang dengan melaksanakan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang bukan bahasa ibunda bagi mana-mana kaum di negara ini.
Kami sekali lagi menegaskan kepentingan bahasa Inggeris yang berperanan sebagai bahasa antarabangsa dan bahasa pengantaraan dalam era teknologi maklumat masa kini, maka kami menyokong sepenuhnya usaha kerajaan meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat, tetapi segalanya harus dilaksanakan berdasarkan kurikulum, tenaga pengajar, bahan-bahan mengajar dan kaedah pengajaran bahasa Inggeris itu sendiri, supaya betul-betul menepati prinsip pendidikan dan mencapai kesan yang diharapkan.
Berdasarkan kajian GPGSCM dan ulasan-ulasan di atas, kami dengan tulus ikhlasnya memohon kepada Yang Amat Berhormat Dato'Seri supaya pelaksanaan formula "2-4-3" dan "6-2-3-2" ditarik balik dengan menggunakan semula bahasa Cina sebagai bahasa pengantar dan bahasa peperiksaan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik di SJK(C) . Justeru itu, demi kepentingan negara, kami turut menyeru kerajaan menimbang semula kesan negatif pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di semua aliran sekolah rendah, supaya memulihkan penggunaan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar dan bahasa peperiksaan bagi kedua-dua mata pelajaran tersebut di sekolah rendah. Bersama-sama ini, kami juga menyeru supaya kerajaan mengambil langkah drastik yang sewajarnya dan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid-murid.
(4) KESIMPULAN
Pendidikan merupakan salah satu bahagian yang penting dalam agenda pembangunan negara, khasnya dalam Rancangan Malaysia Kesembilan, pendidikan memainkan peranan yang paling penting untuk merealisasikan Teras Kedua yang berbunyi "meningkatkan keupayaan dan inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama" supaya matlamat menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020 tercapai mengikut jadual yang ditetapkan. Lantaran itu, sistem pendidikan yang diamalkan haruslah menepati keperluan semasa untuk mencapai matlamat negara tersebut.
Kami berasa lega kerana baru-baru ini beberapa langkah telah diambil untuk memperkukuh dan mengemaskinikan sistem pendidikan yang sedia ada, antaranya termasuk memartabatkan profesionalisme perguruan, meningkatkan pembangunan prasarana sekolah, memperkasa penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran, mengkaji semula sistem pendidikan yang terlalu mementingkan peperiksaan dan sebagainya merupakan satu kemajuan yang menggalakkan. Bagaimanapun, terdapat banyak lagi kekurangan dalam sistem pendidikan yang sedia ada, antaranya termasuk ketidakadilan kerajaan terhadap pembangunan pendidikan bahasa ibunda bukan Melayu, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dan sebagainya yang tidak sesuai dengan keperluan semasa harus dikaji semula dengan segera demi kepentingan negara.
"Silapnya sistem pendidikan, gagallah negara; berkesannya sistem pendidikan, berjayalah negara", maka amatlah penting bagi negara kita untuk mengamalkan sistem pendidikan yang betul-betul memanfaatkan pembangunan negara. Maka, sekali lagi kami memohon kepada Yang Amat Berhormat Dato' Seri supaya memberi pertimbangan yang sewajarnya terhadap pandangan dan cadangan kami.
Pertubuhan-Pertubuhan Cina Utama yang menandatangai bersama memorandum:
(1) Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia(教总)
(2) Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah China Malaysia(董总)
(3) Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia(华总)
(4) Malaysian Seven Major Clans Association(七大乡团协调委员会)
(5) Gabungan Persatuan Alumni Universiti Taiwan Malaysia(留台联总)
(6) Persekutuan Persatuan-Persatuan Alumni Sekolah China Malaysia(校友联总)
(7) Nanyang University Alumni Association Of Malaya (马来亚南大校友会)